Tuesday, 29 November 2011

AKHLAK ISLAMIYAH


MUQADIMAH: AL-QURAN / HADIS

HADIS 40 TENTANG PERISTIWA AKHIR ZAMAN INI DIPETIK DARI BUKU YANG TELAH DI SUSUN OLEH ABU ALI AL BANJARI AN NADWI (AHMAD FAHMI ZAMZAM)

10. SIFAT AMANAH AKAN HILANG SEDIKIT DEMI SEDIKIT

Ertinya:
Daripada Huzaifah bin AI-Yaman r.a. katanya, "Rasulullah saw. pernah memberitahu kami dua buah hadis (mengenai dua kejadian yang akan berlaku). Yang pertama sudah saya lihat sedang yang kedua saya menanti-nantikannya. Rasulullah saw. memberitahu bahawasanya amanat itu turun ke dalam lubuk hati orang-orang yang tertentu. Kemudian turunlah al-Quran. Maka orang-orang itu lalu mengetahuinya melalui panduan al-Quran dan mengetahuinya melalui panduan as-Sunnah. Selanjutnya Rasulullah saw. menceritakan kepada kami tentang hilangnya amanah, Ialu beliau bersabda, "Seseorang itu tidur sekali tidur, lalu diambillah amanah itu dari dalam hatinya, kemudian tertinggallah bekasnya seperti bekas yang ringan sahaja. Kemudian ia tertidur pula, lalu diambillah amanah itu dari dalam hatinya, maka tinggallah bekasnya seperti lepuh di tangan (mengelembung di tangan dari bekas bekerja berat seperti menggunakan kapak atau cangkul). Jadi seperti bara api yang kau gillingkan dengan kaki mu, kemudian mengelembunglah ia dan engkau melihat ia meninggi, padahal tidak ada apa-apa". Ketika Rasulullah saw. menceritakan hadis ini beliau mengambil sebiji batu kecil (batu kerikil) Ialu menggilingkannya dengan kakinya.

"Kemudian berpagi-pagi (jadiIah) orang ramai berjual beli, maka hampir sahaja tiada ada seorang juga pun yang suka menunaikan amanah, sampai dikatakan orang bahawasanya di kalangan Bani Fulan (di kampung yang tertentu) itu ada seorang yang sangat baik memegang amanah, sangat terpercaya dan orang ramai mengatakan, "Alangkah tekunnya dalam bekerja, alangkah indahnya pekerjaannya, alangkah pula cerdik otaknya. Padahal di dalam hatinya sudah tiada lagi keimanan sekali pun hanya seberat timbangan biji sawi."

"Maka sesungguhnya telah sampai masanya saya pun tidak memperdulikan manakah di antara kamu semua yang saya hendak bermubaya’ah (berjual beli). Jikalau ia seorang Islam, maka agamanyalah yang akan mengembalikan kepada ku (maksudnya agamanyalah yang dapat menahannya dari khianat). Dan jikalau ia seorang Nashrani atau Yahudi, maka pihak yang bertugaslah yang akan menggembalikannya kepada ku (maksudnya jika dia seorang Nashrani atau Yahudi maka orang yang memegang kekuasaan / pemerintahlah yang dapat menbantu aku untuk mendapatkan semua hak-hak ku daripadanya.) Ada pun pada hari ini maka saya tidak pernah berjual beli dengan kamu semua kecuali dengan Fulan dan Fulan (orang-orang tertentu sahaja)".

H.R. Bukhari Muslim
Keterangan

Hadis ini menunjukkan bahawa sifat amanah akan hilang secara beransur-ansur dan bilangan kaum Muslimin, sehinggalah sampai suatu saat nanti orang yang dianggap baik untuk menjaga amanat pun telah khianat pula.

Begitulah gambaran masyarakat kita hari ini. Ramai daripada kita terpedaya oleh seseorang yang pada zahirnya boleh memikul amanah, tetapi sebenarnya ia juga telah berlaku curang.


PENGERTIAN

Menurut bahasa:
Perkataan akhlak berasal daripada al-akhlak (       ) iaitu jama’ daripada perkataan al-khulq (        ) bererti tabiat kelakuan, perangai, tingkah laku, maruah dan adab kebiasaan. Malah ia juga bererti agama itu sendiri. Perkataan al-khulq ini di dalam Al-Quran hanya terdapat pada dua tempat sahaja, antaranya dalam firman Allah s.w.t:

Maksudnya: “Dan sesungguhnya engkau (Muhammad) benar-benar berbudi pekerti yang agung.”
 (Al-Qalam 64: 4)

Sementara perkataan al-khulq bererti kejadian, ciptaan, bermaksud kejadian yang indah dan baik. Apabila dirujuk kepada manusia, ia bermaksud struktur tubuh badan yang indah dan seimbang. Jika dirujuk kepada alam semesta, ia juga membawa erti kejadian atau ciptaan yang indah, seimbang, disusun rapi menurut peraturan dan undang-undang yang tepat. Didalam Al-Quran terdapat 52 perkataan al-khulq merujuk kepada kejadian manusia, alam sejagat dan lain-lain.

Firman Allah s.w.t:

Maksudnya: “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang belayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu dia menghidupkan bumi sesudah mati (kering) dan Dia sebarkan bumi itu segala jenis haiwan dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi. Sungguh (terdapat) tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkannya”.
(Al-Baqarah: 164)

Firman Allah s.w.t:

Maksudnya: “(Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk atau dalam keadaan baring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (lantas berkata); Ya Tuhan kami tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau maka peliharalah kami dari siksa neraka”.
(Ali-Imran 3: 190-191) 

Menurut Istilah:
Sifat yang tertanam di dalam diri iaitu yang dapat mengeluarkan sesuatu perbuatan dengan senang dan mudah tanpa pemikiran, penilitian dan paksaan.

SKOP DAN RUANG LINGKUP AKHLAK DALAM ISLAM 

Dalam hidup ini ada dua nilai yang menentukan perbuatan manusia iaitu nilai baik dan buruk (good and bad), betul dan salah (true and false). Penilaian ini berlaku dalam semua kehidupan manusia. Apakah yang dimaksudkan dengan baik dan buruk, betul dan salah dan palsu? Persoalan inilah yang dijawab oleh ilmu akhlak.

Matlamat hidup manusia berbeza antara individu dengan individu lain. Ada yang mencari pangkat, kebesaran dan kekuasaan. Ada yang mencari kemasyhuran dan nama. Ada juga yang berusaha mencari pengetahuan dan ada pula golongan yang memandang remeh terhadap kehidupan tersebut, sebaliknya bersifat zuhud dalam kehidupan dunia, memadai dengan cara hidup yang sederhana. Mereka lebih mementingkan peningkatan rohaniah dengan mementingkan persoalan hidup akhirat.

Perbezaan pandangan inilah yan menyebabkan timbulnya beberapa aliran dalam memahami akhlak. Semua pandangan ini apabila diteliti dengan saksama, tidak dapat kita jadikan sebagai matlamat terakhir atau tertinggi yang seharusnya dicapai oleh manusia. Oleh itu, disebalik pandangan atau perbezaan tersebut ada sesuatu matlamat yang hakiki dan wajib dituntut manusia. Itulah yang menjadi ukuran tepat dalam meneliti tindak tanduk dan perbuatan manusia. Apabila sesuatu pelaku atau perbuatan itu selaras dengan ukuran tersebut, itulah yang dikatakan buruk atau jahat dan sebagainya.

Persoalan–persoalan inilah yang menjadi skop perbahasan ilmu akhlak, iaitu ilmu yang menerangkan pengertian baik dan buruk, dan juga menerangkan sesuatu yang sepatutnya dilakukan seseorang dalam perjalanan hidup ini. Ilmu ini juga menerangkan matlamat yang seharusnya dilalui untuk melaksanakan sesuatu dalam hidup ini.

Jelaslah bahawa fungsi akhlak ialah mengkaji dan meneliti aspek perilaku dan perbuatan manusia. Ia meneliti dari segi baik atau buruknya perbuatan itu, apa yang patut dan apa yang tidak patut dilakukan oleh seseorang. Semua yang berlaku pada manusia bersifat tidak iradi (bukan dengan ikhtiar) seperti pernafasan, detik jantung dan sebagainya tidak termasuk dalam skop perbahasan ilmu akhlak. Jadi tidak bolehlah diberi nilai atau hukuman ke atas kejadian itu sebagai baik atau buruk.

Segala tindakan yang dilakukan secara sedar dengan ikhtiar samada hubungan dengan Allah, hubungan sesama manusia, hubungan dengan alam sekitar, hubungan dengan diri sendiri semuanya mengandungi nilai akhlak. Segala tindakan manusia baik berupa peribadi mahupun sosial, ekonomi, politik, kebudayaan dan sebagainya yang mengandungi nilai akhlak yang diambil kira dan dipertanggungjawabkan kepada setiap mereka yang terlibat di dalamnya. Nilai akhlak yang buruk akan diberi balasan seksa.

Jadi, bidang akhlak ini hanya meliputi perilaku perbuatan dan tindakan manusia yang dilakukan dalam lingkungan dan suasana berikut:

1)    Dilakukan dengan sedar dan sihat.
2)    Dilakukan dengan ikhtiar sendiri.
3)    Melakukannya dengan sengaja, tidak dalam keadaan lupa atau bersalah.

PERBEZAAN ANTARA AKHLAK DAN MORAL

            Menurut istilah moral berasal daripada perkataan Latin: moralis atau mores iaitu jama’ daripada perkataan mos yang bererti kebiasaan iaitu perbuatan, budi pekerti atau perangai. Dictionary of education menjelaskan moral ialah satu istilah yang digunakan untuk menentukan batas-batas dan sifat, perangai, kehendak, pendapat atau perbuatan yang secara layak dapat dikatakan benar, salah, baik atau buruk.

            Manakala perkataan etika pula berasal daripada perkataan yunani: ethikos daripada ethos yang membawa juga erti adab dan kebiasaan, perangai dan sebagainya. Kedua-dua istilah ini adalah bermaksud tatasusila, peraturan-peraturan atau norma-norma yang mengukur tentang baik buruknya, salah atau betulnya sesuatu perbuatan manusia. Ia merupakan tindakan lahiriah manusia dalam hubungan sesama manusia berdasarkan pemikiran pandangan umum dalam sesuatu kumpulan, masyarakat, pada sesuatu masa dan tempat yang tertentu. Nilai-nilainya bersifat relatif, subjektif dan temporal. Oleh itu, ia mungkin berubah mengikut sesuatu lingkungan pemikiran, suasana dan tempat.

            Secara harfiahnya, kedua-dua istilah tersebut dapatlah disamakan dengan istilah akhlak dari bahasa Arab yang membawa erti perangai, tingkahlaku, perilaku, tatasusila dan budi pekerti.

            Islam sebagai agama yang syumul, komprehensif dan sempurna menjadikan akhlak sebagai satu cabang asasi dalam program hidup individu malah ia merupakan tuntutan wajib bagi setiap orang.

            Ilmu akhlak berusaha membina memupuk rohaniah manusia, membina insaniah, membentuk tingkahlaku dan mengarah individu kea rah kebaikan dan ketinggian di samping mengingatkan bahaya-bahaya keburukan dan kejahatan supaya masing-masing berusaha menjauhkan diri daripada terjebak ke lembah pengaruh sifat-sifat negatif.

            Oleh kerana akhlak ini menyentuh tentang tingkahlaku manusia, tentang ketinggian budi dan rohaniah, ia dinamakan sebagai “ilmu Al-Suluk” (ilmu tingkahlaku), “Ilmu Hikmah” dan “Ilmu Tahdhib Al-Akhlak” (Ilmu pencarian akhlak). Jika ilmu ini dihubungkan dengan agama, tidak menjadi halangan kita namakannya sebagai “Ilmu Aqliyy”.

            Untuk mencapai cita-cita pembinaan akhlak dan rohaniah manusia, Islam telah menggariskan beberapa prinsip utama antara lain:

  • Beriman kepada Allah
  • Membenarkan risalah Muhammadiah dan mengamalkannya serta menjadikannya uswah hasanah.
  • Membenarkan Al-Quranul dan As-Sunnah beserta dengan mengamalkan kedua-duanya dan berakhlak dengan perintah dan arahan kedua-duanya.
  • Niat yang baik dan benar dalam melaksanakan tingkahlaku baik.
  • Sentiasa prihatin terhadap hukum halal haram.
  • Berusaha mencari ilmu yang bermanfaat.
  • Keadilan syara’.
  • Beriman dengan hari kebangkitan dan hari kiamat.

Demikianlah beberapa prinsip utama yang wajib dijadikan tempat berpijak bagi seseorang Muslim dalam kehidupan ini. Prinsip-prinsip tersebut jelas kepada kita merangkumi semua aspek rohaniah dan jasmaniah yang bersifat mutlak dan tepat penilainya. Oleh itu bagi mencapai akhlak yang mulia dan diredhai Allah, seseorang itu wajib berpegang dan beramal dengan prisip-prinsip tersebut. Apa yang penting bagi seseorang itu ialah sentiasa berhati-hati dalam menjalani kehidupan dengan mengarahkan pemikiran, pandangan dan amalan ke arah yang positif sesuai dengan prinsip-prinsip tersebut dan sedaya mungkin hendaklah menghindarkan diri daripada sifat-sifat atau gejala negatif.

Sekarang dapat dilihat persamaan antara ilmu akhlak, moral dan etika iaitu menentukan hukum atau nilai perbuatan manusia dengan keputusan baik atau buruk. Perbezaannya pula terletak pada ukuran ajaran Al-Quran dan As-Sunnah, etika dengan pertimbangan akal fikiran dan moral dengan adab kebiasaan yang umum dalam masyarakat.

AKHLAK YANG AGUNG

            Bagi seorang Muslim, akhlak yang terbaik ialah seperti yang terdapat pada Nabi Muhammad S.A.W kerana sifat-sifat dan perangai yang terdapat pada dirinya itu adalah sifat-sifat terpuji dan merupakan uswah hasanah, iaitu contoh tauladan yang terbaik bagi seluruh kaum muslimin. Allah s.w.t sendiri memuji akhlak junjungan kita di dalam Al-Quran sebagaimana firman-Nya:

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Engkau (Muhammad) benar-benar berakhlak yang agung”.
(Al-Qalam 64: 4)
            Dasar akhlak Islamiah yang terkandung dalam risalah yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. Risalah ini bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah yang dimanifestasikan oleh cara hidup dan perbuatan Rasulullah sendiri. Perilaku dan cara hidup Rasulullah itu adalah menjadi ikutan dan contoh teladan untuk kesempurnaan hidup manusia baik dari segi jasmani ataupun rohani.

            Untuk mencapai tahap kesempurnaan peribadi yang mulia itu, Allah telah membekalkan manusia dengan persediaan semulajadi itu pelbagai naluri dan akal fikiran serta dihiasi pula pelbagai ilmu pengetahuan yang boleh menjadi pedoman hidup demi kepentingan pembinaan tamadun di muka bumi ini. Oleh kerana kelemahan akal dan keterbatasannya dalam menjangkau segala aspek alam, baik alam realiti mahupun alam ghaib. Allah menurunkan wahyu-Nya sebagai hidayah mutlak untuk digunakan manusia dalam membina kehidupan dan tamadun yang serasi dengan nilai-nilai akhlak mulia. Di sinilah terletaknya peranan risalah yang dibawa oleh Islam melalui Nabi Muhammad S.A.W bertujuan untuk membentuk suatu dasar akhlak yang mulia dan bersifat mutlak untuk keperluan hidup seluruh manusia. 

KESYUMULAN AKHLAK ISLAM

            Ciri khas akhlak Islam ialah kelengkapannya dan luas bidangnya meliputi semua aspek perbuatan manusia samada mengenai dirinya, orang lain atau orang perseorangan atau kemasyarakatan dan kenegaraan. Tidak ada suatu perbuatan manusia yang terkeluar dan tidak diatur oleh peraturan akhlak dalam Islam.

            Kesyumulan akhlak Islamiyyah ialah ia tidak terpisah dengan semua bidang-bidang kehidupan manusia. Ia merupakan suatu neraca terhadap seluruh tindak-tanduk manusia. Akhlak Islamiyyah tidak mengakui sebarang pemecahan di dalam menetapkan penilaian ini.

            Asas keimanan kepada Allah ialah sendi-sendi Islam, manakala asas akhlak terbina di sekitar usaha dan amal untuk memenuhi segala tuntutan yang terkandung dalam sendi-sendi tersebut. Jelas di sini binaan akhlak yang mulia sebenarnya hanya dapat tegak di atas asas akidah yang sah dan syumul. Sedangkan sesuatu perbuatan yang pada zahirnya dianggap sebagai akhlak yang mulia tidak dapat teguh dan kekal sekiranya tidak ditegakkan atas dasar akidah.

            Besarnya kedudukan akhlak Islam hinggakan hadith-hadith Rasulullah merumuskan akhlak sebagai:
“Sesungguhnya aku dibangkitkan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”

“Sesungguhnya orang yang paling baik akhlaknya adalah orang yang paling baik Deennya”

“Wahai Rasulullah S.A.W. apakah Deen itu?” Baginda menjawab: “Akhlak yang baik”.

CIRI-CIRI AKHLAK ISLAMIYYAH

            Antara ciri-ciri akhlak Islamiyyah ialah:

·         Bersifat mutlak dan menyeluruh
Akhlak Islamiyyah bersifat mutlak, tidak boleh dipinda dan diubah suai, dikenakan kepada seluruh individu tanpa mengira keturunan, warna kulit, pangkat, tempat dan masa.

·         Melengkapkan dan kesempurnaan tuntutan
Ditinjau dari sudut kejadian manusia yang dibekalkan dengan pelbagai naluri, akhlak Islamiah adalah merangkumi semua aspek kemanusiaan, rohaniah, jasmaniah dan aq’liah, sesuai dengan semua tuntutan dalam usaha mengawal sifat-sifat tercela (mazmumah) untuk kesempurnaan insan, bukan untuk menyekat kebebasan peribadi seseorang.

·         Bersifat sederhana dan seimbang
Tuntutan akhlak dalam Islam adalah sederhana, tidak membebankan sehingga menjadi pasif dan tidak pula membiarkan sehingga menimbulkan bahaya dan kerosakan.

·         Mencakupi suruhan dan larangan
Bagi kebaikan manusia, pelaksanaan akhlak Islamiyyah meliputi suruhan dan larangan dengan tidak mengutamakan dan mengabaikan mana-mana aspek tersebut.

·         Bersih dalam pelaksanaan
Untuk mencapai kebaikan akhlak Islamiyyah memerintah supaya cara dan method pelaksanaan suatu perbuatan dan tindakan itu hendaklah dengan cara yang baik dan saluran yang benar yang telah ditetapkan oleh akhlak Islamiyyah. Ertinya untuk mencapai sesuatu matlamat mestilah menurut tatacara Islam. Islam tidak menerima falsafah “matlamat menghalalkan cara”.

·         Keseimbangan
Akhlak dalam Islam membawa keseimbangan bagi tuntutan-tuntutan realiti hidup antara rohaniah dan jasmani serta aqliah dan antara kehidupan akhirat sesuai dengan tabi’I manusia itu sendiri.

PEMBENTUKAN AKHLAK MENURUT ISLAM

            Akhlak dapat dibentuk dengan baik sekiranya kita benar-benar mengikut lunas-lunas yang disyariatkan oleh Allah dan RasulNya. Akhlak yang dibentuk atas dasar kesedaran dan hidayah Allah mampu dimiliki setiap manusia yang mahu dirinya digelar hamba.

            Antara jalan yang terbaik untuk membentuk akhlak yang mulia ialah:

·         Ilmu pengetahuan
Setiap mu’min perlu mempelajari apakah akhlak yang terpuji (mahmudah) dan apakah yang dikeji (mazmumah). Al-Quran telah menggariskan akhlak utama yang mesti dihayati oleh setiap mu’min. Sunnah Rasulullah pula telah memperincikannya serta menterjemahkannya ke dalam realiti kehidupan yang sebenar.

·         Menyedari kepentingan akhlak yang diamalkan
Akhlak adalah cermin bagi individu itu sendiri malah daya tarikan Islam juga bergantung kepada akhlak yang baik.

·         Keazaman yang tinggi
Melalui azam yang kuat sahaja jiwa dapat diperkukuhkan untuk benar-benar menghayati sifat-sifat yang mulia.

·         Ibadah yang kuat dan ikhlas
Ketekunan dan keikhlasan melakukan ibadah mampu menangkis serangan mazmumah terutama bisikan nafsu.

·         Bergaul dengan orang yang baik akhlak
Pergaulan boleh mempengaruhi diri untuk berubah. Ini kerana manusia cepat meniru orang lain. Dalam masa yang sama perlu menjauhi orang yang melakukan maksiat dalam erti kata uzlah syu’uriah (pengasingan jiwa) yang mana kita tetap meneruskan untuk membawa mereka kembali ke jalan yang benar.

·         Membiasakan diri dengan kebaikan
Menggantikan akhlak mazmumah dengan akhlak mahmudah serta sentiasa membiasakannya agar ia dapat kekal dan bersemadi dalam jiwa.

·         Sentiasa berlapang dada untuk menerima nasihat.
Kadangkala seseorang itu tidak menyedari kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri sendiri. Oleh itu ia perlu berlapang dada untuk menerima nasihat yang bertujuan untuk membaiki diri. Umar Ibn Khatab pernah berkata “Mudah-mudahan Allah memberi hidayah kepada orang-orang yang menunjukkan kekurangan-kekuranganku”.

AKHLAK YANG BAIK IALAH KESEMPURNAAN ISLAM

Rasulullah S.A.W diutus kepada manusia untuk menyempurnakan akhlak mulia sebagaimana dalam hadith baginda S.A.W. dalam akhlak baginda, Rasulullah S.A.W memenuhi kewajipan dan menunaikan amanah, menyeru manusia kepada tauhid dan dengan akhlak jugalah baginda menghadapi musuh dimedan perang. Dengan akhlak baginda memimpin rakyat dalam mencapai cita-cita serta membangunkan Negara yang berdaulat dan merdeka. Sesungguhnya akhlak mulia melengkapkan sendi keimanan menuju kepada kesempurnaan keperibadian manusia sebagaimana keterangan hadith yang berbunyi:
Sabda Rasulullah:

Maksudnya: “Paling sempurna keimanan orang mu’min ialah yang lebih baik akhlaknya, dan yang paling baik dikalangan kamu ialah yang baik kepada isterinya.”
(HR At-Tirmizi dari Abu Hurairah)

            Dalam konteks pengamalan syariah iaitu yang meliputi pengabdian hamba terhadap Allah, dapat dilihat pada rukun Islam yang lima dan juga dalam bab muamalah, akhlak sangat berperanan untuk melengkapinya.

            Manakala dalam bab ibadah, kita akan dapati antara hikmah-hikmah ibadah yang dianjurkan oleh Islam terdapat tautan yang erat antara ibadah dan akhlak meskipun ibadah itu berlainan pada rupa dan bentuknya tetapi kesemuanya menuju ke suatu sasaran yang digariskan oleh Rasulullah S.A.W dalam sabda baginda:

Maksudnya: “Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”

            Sembahyang, puasa, zakat, haji dan amalan yang diarahkan oleh Islam adalah anak tangga untuk mendaki puncak kesempurnaan dan sebagai strategi untuk melindungi diri dari kerosakan dan kerendahan moral. Dengan sebab ciri-ciri itu maka ibadah-ibadah tersebut terletak di tempat yang tinggi dalam agama Allah.

            Persiapan umat Islam untuk menjadi “ummatan hasanatan” yang dilengkapi dengan tuntutan yang dijadikan alat komunikasi sesama manusia. Tuntutan itu berupa ajaran akhlak mulia, yang diharapkan untuk menjadi aspek kehidupan manusia. Kerana itu, ilmu komunikasi yang hebat adalah ilmu yang didasarkan kepada akhlak mulia.

KEPENTINGAN AKHLAK DALAM PERIBADI MUSLIM

            Bidang akhlak adalah bidang yang amat penting dalam sistem hidup manusia. Ini adalah kerana nilai manusia itu pada hakikatnya terletak pada akhlak dirinya. Semakin tinggi nilai akhlak diri seseorang itu semakin tinggi nilai kemanusiaan seseorang. Akhlak inilah yang membezakan antara manusia dan haiwan dalam kehidupan sehari-hari. Seseorang yang tidak berakhlak adalah sama taraf dengan haiwan malah lebih rendah darinya.
Firman Allah S.W.T:

Maksudnya: “Dan sesungguhnya kami sediakan untuk neraka banyak sekali golongan jin dan manusia yang mana mempunyai hati tetapi tidak mahu mengerti dengannya, mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat dengannya, mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar dengannya, mereka itu seperti binatang malah lebih sesat, mereka ialah orang yang lalai.”
(Al-A’raf: 179)

            Akhlak mempunyai hirarki paling tinggi dalam tamadun umat manusia. Oleh itu, masyarakat yang tidak mempunyai nilai akhlak tidak boleh dianggap sebagai masyarakat yang mulia dan baik walaupun mempunyai kemajuan yang tinggi dalam bidang ekonomi, teknologi dan sebagainya.
Muslim terhadap Allah

            Sedar dan taat perintah Tuhan:
Menyedari dia sentiasa perlukan pertolongan Allah serta mentaati perintah Allah sekalipun bertentangan dengan kehendak nafsunya.

Sentiasa bertaubat dan mencari keredhaan Allah:
Sentiasa memohon keampunan Allah apabila menyedari dirinya lalai atau berlaku cuai serta memastikan seluruh gerak kerja adalah untuk mencari keredhaan Allah. Firman Allah S.W.T;


Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang bertaqwa apabila mereka ditimpa was-was dan syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahan mereka”
(Al-A’raf 7: 201)

Pelaksanaan ubudiyyah terhadap Allah:

Maksudnya: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahku”
(Az-Zariyat 51: 56)

Beribadah kepada Allah dapat dilaksanakan dalam setiap gerak-geri manusia selagi niatnya hanyalah semata-mata kerana Allah. Sebesar-besar ibadah ialah menegakkan hukum Allah dan membangunkan pemerintahan Islam.


Muslim terhadap dirinya

            Memurnikan Aqidah:
Pembersihan keyakinan, kefahaman dan pandangan supaya sesuai dan selaras dengan keterangan dan tuntutan Al-Quran dan Hadith serta memastikan aqidah bersih dari dicemari dengan segala bentuk syirik, bida’ah, khurafat dan tahyul.

Memiliki Ilmu yang Mantap:
Perkara pertama yang patut diketahui dengan lebih mendalam ialah ilmu pengetahuan berkenaan kitab Allah diikuti dengan ilmu-ilmu fardhu a’in yang lain.

Memiliki Bidang Pengkhususan:
Menumpukan seluruh tenaga dan perhatian kepada jurusan yang menjadi pengkhususan samada dalam bidang agama (fardhu ai’n atau bukan). Kejayaan ilmiah yang paling tinggi menyebabkan seseorang itu dipandang tinggi mulia oleh manusia selagi individu tersebut merealisasikannya dengan ikhlas, bersungguh-sungguh dan menjaga adab-adabnya.

Muslim Terhadap Ibu Bapa Dan Keluarga

            Berbuat baik kepada kedua-duanya:
Islam meletakkan martabat ibu bapa sehingga Allah meletakkan keredhaan ibu bapa sesudah keredhaan-Nya. Firman Allah s.a.w;

Maksudnya: ”Dan Tuhanmu telah perintahkan, sembahlah Allah dan janganlah kamu menyekutukanNya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada ibu bapa…”
(Al-Isra’ 17: 23)

            Mentaati keduanya selagi tidak bertentangan dengan syariat Islam:
Melaksanakan tanggungjawab untuk menyelamatkan mereka daripada api neraka.
Firman Allah:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu-batu…”
(At-Tahrim 66: 6)

Muslim Terhadap Saudara Mara Dan Sahabat

Mencintai kerana Allah atas dasar iman dan ikatan aqidah Islamiyyah:
Tidak mencintai seseorang kerana peribadinya semata-mata, sebaliknya kerana kelebihan-kelebihan yang ada padanya yang membawa orang-orang lain menuju keredhaan Allah.

Tidak membelakangi mereka:
Meraikan mereka samaada di dalam keadaan senang atau susah.

Memenuhi keperluan apabila diperlukan:
Hendaklah menunaikan keperluan apabila diperlukan dan mendahului keperluan mereka dari kepentingan diri sendiri.

Berpesan-pesan atas kebenaran dan kesabaran:
Mengingatkan tentang suruhan agama yang perlu ditunaikan serta larangan-larangan yang mesti ditinggalkan.


                                                   



No comments:

Post a Comment