Tuesday 13 December 2011

TARBIYAH ISLAMIYAH HARAKIYAH APLIKASI DALAM PARTI ISLAM SEMALAYSIA

Allah Taala berfirman di dalam Surah Al 'Asr, "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Melainkan orang-orang yang beriman, yang mengerjakan amal soleh , dan yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan- pesan dengan kesabaran". Ayat ini merupakan prinsip penting bagi manusia yang benar-benar melaksanakan peranannya, mengapa mereka dicipta dan diletakkan di atas muka bumi Allah. Allah telah menetapkan tiga tugas besar bagi manusia dalam kehidupan di alam dunia ini, dan perkara-perkara ini akan dihisab dan dibicarakan di hadapan Allah.

Firman Allah Taala di dalam Surah Al Mukminun ayat 115, "Adakah kamu mengira bahawa kami ciptakan kamu begitu (sahaja tanpa tujuan)? Dan dalam keadaan kamu tidak dikembalikan semula kepada kami (untuk dihisab dan dibicarakan)".

Ketiga-tiga tugas itu ialah :

1| Ibadah, dinyatakan oleh firman Allah Taala Surah Az Zariyat ayat 56, "Dan tidaklah aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepadaKu".Ibadah itu merangkumi perkara syiar ibadah dan kepatuhan semua urusan kehidupan di dunia dalam segala aspek.

2| Khilafah, dinyatakan oleh firman Allah Surah AL Baqarah ayat 30, "Dan ingatlah apabila Tuhan-mu berfirman kepada Para Malaikat; Sesungguhnya aku hendak menciptakan di atas muka bumi itu makhluk (manusia) yang menjadi khalifah". Khilafah itu ialah kewajipan menegakkan agama dan mentadbir urusan dunia dengan agama.

3| Amanah, dinyatakan oleh firman Allah dalam surah Al Ahzab ayat ke 72, "Sesungguhnya kami telah membentangkan amanah kepada langit, bumi, bukit-bukau dan gunung-ganang (supaya mereka memikulnya) tiba-tiba mereka enggan dan merasa takut akan tetapi manusia sanggup memikulnya, sesungguhnya manusia itu sangat zalim lagi amat jahil".

Amanah paling besar ialah mengendalikan urusan kehidupan di dunia dengan menunaikan perintah Allah. Manusia yang dapat menunaikan ketiga-tiga peranan itu ialah mereka yang dipandu oleh petunjuk Allah yang terkandung di dalam surah Al Asr yang menjadi wirid menamatkan majlis di kalangan Salafu As Soleh (generasi awal yang soleh).

Perkara perkara yang disebut dalam surah itu ialah :
  • Iman.
  • Amal soleh.
  • Berpesan dan nasihat supaya menegakkan yang benar daripada Allah.
  • Berpesan dan nasihat supaya bersabar dalam perjuangan dan menghadapi cabaran kerana menegakkan yang benar dengan berjihad , amar ma’arof dan nahi mungkar.
  • Melaksanakan perkara-perkara di atas secara berjama’ah kerana disebut dengan lafaz jama’ah.

Oleh kerana penubuhan Parti Islam SeMalaysia (PAS) adalah memenuhi kewajipan merealisasikan perkara-perkara yang tersebut dan kejayaannya juga sangat bergantung dengan pertolongan Allah apabila memenuhi syarat-syaratnya, maka Tarbiyah Islamiyah Harakiyah wajiblah menjadi Aplikasi yang ditunaikan merangkumi aspek-aspek nya yang menyeluruh.

TARBIYAH ISLAMIYAH HARAKIYAH

Allah Azza wa Jalla telah mengatur ciri-ciri HizbuLlah (Parti yang menegakkan Agama Allah) dengan janji kemenangan dunia dan akhirat, firman Allah di dalam Surah AL Maidah ayat 54-56, "Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa yang menyeleweng di kalangan kamu, maka Allah melahirkan satu golungan yang Allah mengasihi mereka dan mereka mengasihi Allah, mereka merendah diri terhadap orang-orang yang beriman dan menunjukkan kekuatan menghadapi orang-orang yang menentang, mereka berjihad pada jalan Allah dan tidak takut menghadapi orang yang mencela, yang demikian itu adalah kurnia Allah kepada sesiapa yang Ia (Allah) kehendaki, dan Allah itu Maha luas kurnianNya lagi Maha mengetahui. Sesungguhnya Wali (pemimpin dan penolong) kamu ialah Allah, RasulNya dan orang orang yang beriman yang mendirikan solat, yang menunaikan zakat dan mereka ruku’ (patuh). Dan sesiapa yang berwalikan Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman (sehingga mewujudkan golungan (Parti) yang bersifat tersebut) maka sesungguhnya gulungan (parti) itulah yang akan mendapat kemenangan".

Kesimpulannya ialah mewujudkan satu golungan atau kumpulan di kalangan orang-orang beriman yang bersifat dengan perkara-perkara yang tersebut, ciri-ciri dan sifatnya dilahirkan melalui tarbiyah.

Tarbiyah itu ialah menanamkan ilmu yang menghasilkan iman atau aqidah yang membuahkan amal dan jihad dengan sifat-sifat individu yang menjadi anggota kepada golongan yang berdasarkan aqidah dan sifat-sifat yang tersebut.

Maka di dalam tarbiyah itu disenaraikan perkara-perkara yang berikut :
  1. Tarbiyah Imaniyah (Aqidah).
  2. Tarbiyah Amal Soleh.
  3. Tarbiyah Ruhiyah.
  4. Tarbiyah berJamaah (berparti).
  5. Tarbiyah Jihadiyah.
  6. Tarbiyah Siyasiyah.
TARBIYAH IMAN (AQIDAH)

Al Quran telah menyebut bahawa peningkatan iman itu berlaku dengan beberapa cara. Firman Allah Taala di dalam Surah Al Anfal ayat 2-4,"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut Allah, rasa takutlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka akan ayat-ayatNya nescaya iman mereka bertambah dan mereka bertawakkal kepada Tuhan mereka. Mereka mendirikan sembahyang dan membelanjakan daripada apa yang kami beri rezeki kepada mereka. Mereka itulah orang-orang beriman yang sebenar, untuk mereka beberapa darjat di sisi Tuhan mereka, serta keampunan dan rezeki yang mulia".

Ayat ini menyatakan bahawa peningkatan iman itu berlaku dengan ilmu berkenaan ayat-ayat Allah yang dibaca dan ilmu melihat alam, zikrullah dan mengerjakan amalan yang wajib dan sunat.

Ayat-ayat Allah itu mengandungi ayat yang dibaca daripada Al Quran dan Hadith-hadith Rasulullah S.A.W yang menyatakan kebesaran Allah, dosa dan pahala, janji syurga dan amaran neraka, dan juga cerita-cerita umat-umat yang terdahulu, sama ada yang beriman dan beramal soleh yang berjaya di dunia dan di akhirat, atau yang kafir dan derhaka yang dibinasakan di dunia dan azab neraka di hari akhirat.

Firman Allah Taala di dalam Surah Al Imran ayat 172-173,"Mereka yang menyahut seruan Allah (agar meneruskan jihad) setelah mengalami luka-luka (dalam peperangan Uhud), bagi mereka yang berbuat baik (mentaati Allah dan Rasul) dan bertaqwa mendapat ganjaran yang besar. Mereka ialah orang-orang yang apabila diberitahu; Bahawa musuh sedang berkumpul untuk memerangi kamu, maka takutlah kepadanya. Tiba-tiba iman mereka bertambah dan mereka berkata;"Cukuplah Allah (yang menolong kami) dan sebaik-baik yang kami bertawakkal kepadaNya".

Firman Allah di dalam Surah Al Ahzab ayat 22, "Dan apabila orang-orang yang beriman melihat bala tentera Ahzab (Bersekutu yang datang menyerang), mereka berkata; Inilah yang telah dijanjikan oleh Allah dan RasulNya dan benarlah Allah dan RasulNya dan tidaklah menambahkan kepada mereka melainkan iman yang lebih kuat dan penyerahan diri kepada Allah yang lebih bersungguh- sungguh".

Firman Allah di dalam Surah Al Ankabut ayat 2-3, "Adakah manusia mengira bahawa mereka dibiarkan begitu sahaja setelah mereka berkata; Kami telah beriman, dalam keadaan mereka tidak diuji? Sesungguhnya kami (Allah) telah menguji orang-orang yang lebih dahulu daripada mereka. Maka Allah mengetahui orang-orang yang benar (beriman) dan orang-orang yang berbohong".

Ayat-ayat ini menegaskan berlakunya tarbiyah iman dengan ujian menghadapi cabaran kezaliman yang dilakukan oleh musuh untuk menapis keikhlasan orang beriman. Kesemua ayat-ayat yang tersebut menjelaskan bahawa tarbiyah imaniyah (aqidah) itu berlaku dengan ilmu, amal, jihad dan ujian secara serentak. Adalah tidak benar mereka yang menangguhkan masanya untuk melibatkan diri dengan perjuangan Islam kerana ingin mencari ilmu, harta dan menguatkan iman terlebih dahulu.

Aqidah atau Iman itu hendaklah bertonggakkan Tauhid dan menolak syirik dalam segala bentuknya yang menjadi prinsip semua para Rasul dan Anbia A.S. di sepanjang zaman. Firman Allah di dalam Surah An Nahl ayat 36,"Dan sesungguhnya kami bangkitkan di kalangan tiap-tiap umat itu Rasul (yang menyeru manusia supaya) mengabdikan diri kepada Allah sahaja dan menjauhkan diri daripada toghut (setiap yang melampaui batas Allah".

Maka tarbiyah dalam aspek ini juga wajib memperkenalkan perkara-perkara yang menentang dan membatalkan aqidah Tauhid yang berlaku di sepanjang zaman dalam segala aspek nya. Oleh itu, tarbiyah Aqidah juga wajib mengalami tajdid (pembaharuan). Perlu disedari juga bahawa iman itu menjadi asas kepada semua amalan, di mana amalan yang dibina di atas perkara yang membatalkan iman tidak diterima oleh Allah. Firman Allah di dalam Surah Az Zummar ayat 65,"Sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada Para Rasul sebelum-mu, jika sekiranya kamu melakukan syirik nescaya dihapuskan amalan mu dan kamu tergulung di kalangan orang-orang yang rugi".

TARBIYAH AMAL SOLEH

Allah Taala menegaskan amal soleh menjadi ciri terpenting kepada golongan Islam di sepanjang masa, sama ada dalam perjalanan perjuangan sehingga mencapai kemenangan. Firman Allah Taala di dalam Surah Al Maidah ayat 55-56,"Sesungguhnya Wali (pemimpin dan penolong) kamu ialah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan solat, yang menunaikan zakat dan mereka ruku’ (patuh). Dan sesiapa yang berwalikan Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman sehingga mewujudkan golongan (Parti yang bersifat tersebut) maka sesungguhnya gulungan (parti) itulah yang akan mendapat kemenangan".

Dan firman Allah di dalam Surah Al Hajj ayat 41,"Orang-orang yang kami berikan kepada mereka memerintah bumi, mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, mereka menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, dan bagi Allah sahaja dikembalikan segala urusan".

Ayat-ayat tersebut menegaskan ciri gulungan Islam itu ialah beramal soleh dalam hubungan dengan Allah melalui roh dan jasad dengan mendirikan solat, amal melalui harta benda dengan menunaikan zakat terhadap masyarakat dalam hubungan dengan manusia, dan menunaikan kewajipan menyuruh kepada yang baik serta mencegah kemungkaran di semua peringkat, sehingga di peringkat berkuasa memerintah menegakkan kerajaan, seterusnya semua amalan itu dihisab di hadapan Allah.

Amalan-amalan yang disebut di dalam ayat-ayat itu merupakan rukun dan tonggak yang diwajibkan. Perlu difahami bahawa amal yang soleh itu terlalu luas bidangnya sehingga mencakupi segala ruang hidup manusia yang diserlahkan dalam setiap denyut nadi dan jantung, sendi- sendi anggota seseorang sama ada dalam perkara mengerjakan atau meninggalkan mengikut perintah Allah yang wajib dipatuhi secara Islam (menyerah diri) dan ibadah (memperhambakan diri) dengan hati yang ikhlas kerana Allah yang lahir daripada iman (aqidah) yang benar.

Amalan itu dibahagikan oleh syara’ kepada lima cabang : Wajib, Sunat, Haram, Makruh dan Harus. Pendokong Gerakan Islam wajib di-tarbiyah untuk meneguhkan pendirian mereka sendiri dengan Islam dan menjadi contoh kepada masyarakat. Kejayaan generasi awal umat Islam dalam perjuangan mereka bukan sahaja kerana berjaya dalam ujian iman (aqidah), mereka juga berjaya menjadi model orang-orang yang mengerjakan amal soleh yang mengeratkan hubungan dengan Allah dan makhluknya.

TARBIYAH RUHIYAH

Tarbiyah ini disebut juga dengan tazkiyatun nafs (membersih jiwa) dengan tujuan untuk mengikhlaskan hati kepada Allah dan menjauhkan diri daripada maksiat yang merosakkan niat. Firman Allah di dalam Surah Al Bayyinah ayat 5,"Dan mereka tidak diperintah melainkan supaya mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas keranaNya sahaja berpegang dengan agama".

Firman Allah di dalam Surah At Taubah ayat 25-27,"Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu di banyak medan peperangan dan pada hari peperangan Hunain ketika kamu merasa ‘Ujub (kagum) dengan ramainya bilangan kamu, tiba-tiba kamu tidak boleh berbuat sesuatu (ketika diserang) dan bumi yang luas itu kamu rasa sempit, kemudian kamu berundur lari bertempiaran, kemudian Allah menurunkan rasa ketenangan kurniaNya ke atas Rasullullah S.A.W. dan orang-orang yang beriman dan ia menurunkan kepada kamu bala tentera bantuan yang kamu tidak dapat melihatnya, lalu ia mengazabkan orang-orang yang kafir dan itulah balasan yang sewajarnya bagi orang-orang yang kafir. Kemudian Allah mengampunkan selepas itu kepada sesiapa yang Ia kehendaki dan Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".

Ayat-ayat ini menyatakan wajib ikhlas kerana Allah dalam segala amalan termasuk ketika berjihad dan membersihkan hati daripada maksiat batin saperti ‘ujub (kagum pada diri sendiri) riya' (menunjuk diri), hubbul mal (kasihkan harta), hubbur riasah (kerana jawatan) dan lain-lain, serta meneguhkan pendirian dengan istiqamah dalam perjuangan.

TARBIYAH BERJAMA’AH (BERPARTI)

Selaras dengan kehidupan bermasyakat menjadi naluri manusia, banyak perkara yang mewajibkan wujudnya jalinan hidup yang berkumpul bagi menghasilkan keperluan hidup, maka keperluan hidup beragama Islam menjadi sebahagian daripadanya. Banyak orang mengetahui berkenaan perlunya solat berjamaah dan wajib sembahyang Jumaat secara mingguan, dan berijtima’a di Makkah secara tahunan untuk mengerjakan Haji, tetapi masih ramai yang melupakan kewajipan berjama’ah menegakkan Islam dan mempertahankannya. Allah mewajibkan wujudnya kumpulan ini di kalangan umat Islam, pada awalnya secara fardu kifayah, tetapi kepada orang-orang yang tertentu dan keadaan tertentu menjadi fardhu ‘ain.

Allah befirman di dalam Surah Al Imran ayat 104,"Hendaklah ada di kalangan kamu satu golongan yang menyeru kepada yang baik (berdakwah), yang menyuruh kepada kebaikkan dan mencegah kemunkaran dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan".

Firman Allah di dalam Surah Al Maidah ayat 54,"Wahai orang-orang yang beriman. Sesiapa yang menyeleweng di kalangan kamu daripada agama nya, maka Allah melahirkan satu golongan yang Allah mengasihi mereka dan mereka mengasihi Allah, mereka merendah diri terhadap orang-orang yang beriman dan menunjukkan kekuatan menghadapi orang-orang yang menentang, mereka berjihad pada jalan Allah dan tidak takut menghadapi orang yang mencela, yang demikian itu adalah kurnia Allah kepada sesiapa yang Ia (Allah) kehendaki, dan Allah itu Maha luas kurnia Nya lagi Maha mengetahui. Sesungguhnya Wali (pemimpin dan penolong) kamu ialah Allah, Rasul Nya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan solat, yang menunaikan zakat dan mereka ruku’ (patuh). Dan sesiapa yang berwalikan Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman (sehingga mewujudkan gulungan (Parti) yang bersifat tersebut maka sesungguhnya gulungan (parti) itulah yang akan mendapat kemenangan".

Seterusnya Allah menunjukkan cara berjamaah dalam berjuang untuk menegak dan mempertahankan agama Nya dalam ayat-ayat yang banyak, di antaranya firman Allah di dalam SUrah As Soff ayat 2-4,"Wahai orang-orang yang beriman. Mengapa kamu berkata apa yang kamu tidak lakukan. Sangat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu berkata apa yang kamu tidak lakukan. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berjuang pada jalan Nya dalam saff yang tersusun rapi laksana bangunan yang didirikan daripada batu bata yang disusun diatur dan diikat dengan seteguh teguhnya".

Firman Allah Taala di dalam Surah Al Imran ayat 159,"Maka dengan sebab rahmat Allah yang melimpah ruah terhadap mu (wahai Muhammad) maka engkau bersikap lembut terhadap mereka, dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati terhadap mereka nescaya mereka lari dari kelilingmu. Maka maafkan kesilapan mereka, dan beristighfar untuk mereka dan bermesyuaratlah bersama mereka (dalam perkara yang memerlukan mesyuarat), dan apabila engkau telah berazam (setelah bermesyuarat) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepada Nya".

Ayat-ayat tersebut menyatakan wajib berparti, ciri-ciri parti Islam dan akhlak berparti, seperti beriman dan teguh dengan prinsip, hubungan pemimpin dengan pengikut dengan bermusyawarah, ketaatan dan lain lain.

TARBIYAH JIHADIYAH

Allah telah menetapkan Islam yang dianut oleh manusia wajib mengalami proses fitrah kejadiannya yang dikurniakan aqal untuk memilih, maka Allah menetapkan berlakunya pertembungan dan cabaran yang memerlukan jihad sejak manusia pertama sehingga akhir zaman, perkara ini menjadi penentu yang meninggikan martabat mereka daripada makhluk yang lain.

Jihad bermakna kesungguhan mengembelengkan segala nikmat kurnia Allah roh dan jasad, harta, jiwa raga, akal dan tenaga bagi dikorbankan untuk menegakkan agama Allah di bumi sehingga keperingkat yang dihuraikan oleh Allah secara terperinci di dalam surah Saff dalam ayat seterusnya,"Mereka ingin memadamkan cahaya (agama Allah) dengan mulut-mulut mereka, dan Allah tetap menyempurnakan agama Nya walau pun orang-orang yang kafir membencinya. Dialah (Allah) yang telah mengutuskan RasulNya dengan petunjuk dan agama yang benar, agar dia (Allah) memenangkannya di atas segala agama (dan ajaran) walaupun dibenci oleh orang-orang musyrikin. Wahai orang-orang yang beriman, sukakah kamu, aku tunjukkan kepada kamu satu perniagaan yang menyelamatkan kamu dari azab yang pedih. Ia itu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan kamu berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa raga kamu, itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui. Dia mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di dalam nya sungai-sungai dan tempat-tempat tinggal yang sangat baik di dalam syurga Adn, dan itulah kemenangan paling besar dan yang lain yang sangat kamu ingini, iaitu pertolongan Allah dan kemenangan yang hampir (waktunya), dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang beriman".

Ayat-ayat ini memperincikan jihad, bermula daripada mengapa perlunya, definisinya, prinsipnya, caranya dan natijahnya di dunia dan akhirat. Seterusnya Allah berfirman di dalam Surah Al Hujuraat ayat 14-15,"Berkatalah orang-orang Arab Badwi; Kami telah beriman. Katakan kepada mereka. Kamu belum beriman, kerana iman itu belum lagi masuk ke dalam hati-hati kamu, jika kamu taatkan Allah dan RasulNya, Dia tidak akan mengurangi dosa kamu sedikit pun, sesungguhnnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya orang-orang beriman itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya kemudian mereka tidak ragu dan berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa raga mereka. Mereka itulah orang- orang yang benar"

Ayat-ayat ini mengaitkan pula hubungan jihad dengan iman, menandakan kaitan rapat di antara kedua-duanya.

Bahawa Rasulullah S.A.W bersabda ketika berlakunya peperangan Khaibar,"Esok aku serahkan bendera kepada seorang yang Allah kurniakan dengannya akan mencapai kemenangan, dia mengasihi Allah dan RasulNya dan dia dikasihi oleh Allah dan RasulNya". 

Pada malamnya masing bertanya-tanya siapakah orangnya, di waktu pagi nya masing-masing datang dengan mengharapkan bendera itu diserahkan kepadanya. Tiba-tiba Rasulullah S.A.W bersabda,"Di mana Ali bin Abi Tolib?". Di kalangan mereka ada yang memberitahu,"Dia mengalami sakit mata". Maka Ali dipanggil datang menghadap Baginda. Tiba-tiba Rasulullah S.A.W meludah ke dalam matanya yang sakit dan sembuh dengan segera, dan bendera diserahkan kepadanya.

Ali berkata,"Wahai Rasulullah, perangi mereka sehingga mereka menjadi Islam saperti kita? 

Sabda Rasulullah S.A.W,"Teruskan perjalananmu sehingga sampai ke tempat mereka, ajak mereka kepada Islam dan perintahkan mereka melaksanakan hak yang wajib ditunaikan (dalam ajaran Islam). Demi sesungguhnya Allah memberi hidayah kepada seseorang dengan sebab kamu lebih baik daripada barang yang paling mahal harganya".

Hadis ini menunjukkan bahawa peroses dakwah dan motivasi sehingga mengubah fikiran adalah yang terbaik dan pertama dilakukan. Maka PAS tetap mengambil pendekatan demokrasi walaupun penuh dengan kelemahan dan kejahatan dan kita wajib berjihad dengan cara ini selagi peluang masih ada. Maka jangan terpengaruh dengan pendekatan lain yang cuba ditonjolkan, sesungguhnya kepatuhan kepada jama’ah hukumnya wajib.

Allah berfirman menceritakan Nabi Musa A.S di dalam Surah Yunus ayat 88-89,"Dan berkatalah Nabi Musa A.S, Wahai Tuhan kami. Engkau telah berikan kapada Firaun dan pembesar-pembesarnya perhiasan dan harta benda dunia sehingga mereka sesat dan dapat menyesatkan (rakyat) dari jalanmu. Wahai Tuhan. Binasakan harta mereka dan tutup pintu hati mereka sehingga mereka melihat azab yang pedih. Tuhan berfirman; Sesungguhnya doa kamu berdua (Musa dan Harun) telah diperkenankan, maka kamu mestilah beristiqamah (berada dijalan dan cara yang betul) dan jangan sekali-kali mengikut jalan mereka yang tidak mengerti".

TARBIYAH SIYASIYAH

Kemuncak perjuangan Islam didunia ini ialah menegakkan negara Islam dengan acuan yang dinyatakan oleh Allah, di antaranya firman Allah Taala di dalam Surah An Nur ayat 55,"Allah berjanji kepada orang-orang yang beriman di kalangan kamu dan mengerjakan amal yang soleh, bahawa Dia akan menjadikan mereka golongan yang memerintah sebagaimana dikurniakan kepada mereka yang sama di zaman dahulu, dan Dia menjadikan agama yang ia redha ini (Islam) berkuasa memerintah, dia menukar keadaan ketakutan kepada keamanan, mereka mengabdikan diri kepada Ku dan mereka tidak menyengutuiKu dengan sesuatu yang lain dan sesiapa yang kufur selepas itu mereka adalah orang-orang yang fasik".

Ayat-ayat ini menegaskan Tarbiyah Siasiyah itu dengan senarai berikut :
  • Adanya jamaah (parti) yang berjuang.
  • Memenuhi keperluan tarbiyah iman, amal, dan jihad.
  • Negara mengikut acuan Allah.
APLIKASI TARBIYAH

Al Quran dan Hadith Nabawi menegaskan bahawa kemenangan perjuangan Islam itu adalah kurnia Allah dengan syarat-syarat dan ciri-ciri yang menunjukkan kematangan pendukung cita-cita Islam. Amirul Mukminin Umar bin Al Khattab R.A telah menyimpulkan perkara ini dalam perutusannya kapada Saad bin Abi Waqqas R.A, yang ditugaskan memimpin jihad menetang Farsi, salah satu Kuasa Besar dunia di zaman itu :

"Adapun selepas itu (Bismillah). Maka sesungguhnya aku memerintahmu dan bala tentera bersamamu supaya bertaqwa kepada Allah (dengan mentaati perintahNya dan meninggalkan laranganNya) dalam semua keadaan, maka sesungguhnya bertaqwa itu persediaan terbaik dan perancangan paling teguh di medan perang. Aku memerintahmu dan sesiapa sahaja (tiap- tiap individu) bersamamu supaya berwaspada menjaga diri sendiri lebih daripada berwaspada menghadapi musuh kerana sesungguhnya dosa yang dilakukan oleh bala tentera sendiri lebih merbahaya daripada musuh mereka, dan sesungguhnya orang-orang Islam itu diberi kemenangan dengan makasiat yang dilakukan oleh musuh, kalau tidak kerana itu kita tidak mempunyai jumlah bilangan yang sama saperti mereka dan kelengkapan kita juga tidak sama saperti mereka, kalau kita sama sama mengerjakan maksiat saperti mereka, mereka pula mempunyai kekuatan yang lebih daripada kita. Kalau kita tidak mempunyai kemuliaan yang mengatasi mereka nescaya kita tidak dapat mengalahkan kekuatan yang ada pada mereka. Ketahuilah, bahawa bersama kamu dalam perjalanan kamu itu para Malaikat yang memerhati amalan kamu yang bertugas daripada Allah, mereka mengetahui apa sahaja yang kamu lakukan, maka malulah kepada mereka, dan jangan sekali-kali melakukan ma’asiat padahal kamu dalam perjalanan berjuang kerana menegakkan agama Allah. Dan jangan kamu berkata; Musuh kita lebih jahat daripada kita, maka mereka tidak boleh mengalahkan kita". Kerap berlaku kaum yang dikalahkan oleh musuh yang lebih jahat daripada mereka, sebagaimana berlaku ke atas kaum Bani Israel apabila mereka mengerjakan maksiat di mana mereka dikalahkan oleh orang-orang kafir Majusi (penyembah api) di mana musuh dapat bermaharajalela (menawan dan membunuh) sampai ke celah-celah kampung, itulah ketetapan yang pasti berlaku. Bermohonlah kepada Allah akan pertolongan untuk menghadapi diri kamu sendiri sebagaimana kamu bermohon kemenangan menentang musuh musuh kamu dan aku juga bermohon untuk kami dan juga untuk kamu".

Taqwa adalah perkara penting yang menjadi syarat bagi mendapat pertolongan Allah dan perjuangan kita diberkati. Kesemua perkara yang dilahirkan oleh tarbiyah yang berjaya dalam segala aspek tersebut di atas disimpulkan di dalam perkara yang dinamakan TAQWA yang dihuraikan oleh Allah dalam ayat ayat yang berikut :

Firman Allah Taala di dalam Surah Al Baqarah ayat 2-5,"Kitab ini tidak syak lagi di dalam nya petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa. Meraka itu ialah orang-orang yang beriman kepada perkara yang ghaib, mereka juga mendirikan sembahyang dan menginfaqkan daripada apa-apa yang kami beri rezqi kepada mereka. Mereka juga beriman kepada apa yang diturunkan kepada mereka (Al Quran) dan apa yang diturunkan (kitab sebelumnya serta mereka percaya kepada hari akhirat. Mereka itulah orang-orang yang berada diatas hidayah Tuhan mereka dan mendapat kemenangan".

Dan firman Allah di dalam SUrah Al Baqarah ayat 177,"Bukanlah kebajikan itu seqadar bahawa kamu berhadap wajah ke arah Timur dan Barat, tetapi kebajikan itu ialah sesiapa yang beriman kepada Allah, Hari Akhirat, Para Malaikat, dan Para Nabi serta memberi harta dalam keadaan sayangnya kepada harta itu untuk kaum keluarga anak-anak yatim, orang-orang miskin, orang musafir yang memerlukan bantuan, orang-orang yang meminta sedekah dan hamba-hamba dan juga dia mendirikan solat dan menunaikan zakat, begitu juga orang-orang yang menunaikan janji apabila berjanji dan bersabar ketika menghadapi kesusahan, kesempitan dan dalam perjuangan ketika menghadapi musuh. Mereka itulah orang-orang yang benar (beriman) dan bertaqwa".
Ayat-ayat ini juga menunjukkan betapa erat sifat taqwa yang lahir daripada iman, amal dan jihad melalui tarbiyah yang bersumberkan Kitab Allah dan Sunnah Rasul S.A.W itu dengan Gerakan Islam di mana Parti Islam Se Malaysia (PAS) menjadi wadah yang wajib dipelihara dan dipertahankan dengannya, kerana Islam menjadi rahsia ketahanan PAS sepanjang perjalanannya yang penuh cabaran. Pasang surut hanya keputusan pilihanraya, tetapi kematangan parti dan kesinambungan kepimpinan dan pangikut tetap bertambah matang, kerana kita membangun bersama Islam dan membina keperkasaan juga dengan Islam, rebah bangun tetap bersama Islam dan dengan Islam kita mendapat petunjuk yang sebenar.

“Wahai Tuhan kami! janganlah hati kami terpesong setelah engkau mengurniakan petunjuk kepada kami dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisi Mu. Sesungguhnya Engkau Tuhan Yang Maha melimpah kurnian Nya".
Oleh : Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang

No comments:

Post a Comment